Thursday, March 25, 2010
enzimnoni-mengkudu | 6:49 PM |
Psoriasis penyakit kulit bersisik
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
JIWA tertekan, malu, rasa rendah diri dan jemu untuk mendapatkan rawatan adalah gejala biasa yang dialami pesakit psoriasis. Ketika penyakit menyerang, kalau boleh kebanyakannya mahu duduk berkurung dalam rumah supaya tidak menjadi tumpuan masyarakat yang tidak faham keperitan dan tekanan dirasai.
Bila penyakit menyerang, kulit pesakit menjadi berbintik atau bertompok merah, membengkak dan kulit pada bahagian berkenaan menebal dan keras. Ada kalanya tompokan sel ini berubah menjadi hitam akibat kehadiran melanin.
Dalam masa beberapa hari, kulit yang tebal itu menjadi tua dan apabila sel mati, ia tertanggal sendiri sebagai kepingan putih berkilat. Bahagian kulit yang tebal ini juga terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.
Ada juga yang merekah dan berdarah apabila bahagian ini diregangkan, terutama jika ia menyerang kulit pada sendi seperti lutut, siku dan tangan. Psoriasis adalah penyakit kulit bersisik yang disebabkan kecelaruan sistem imun badan.
Ia juga dipanggil penyakit kulit poliferatif atau ketumbuhan benigna dan kronik yang bermaksud ‘gatal’ dalam bahasa Yunani.
Ketidaknormalan fungsi sel darah putih (sel limfosit T) mencetuskan keradangan dan gerak balas imun pada kulit. Bagi kulit normal, proses penggantian kulit berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa 28 hingga 30 hari sebelum sel mati ini tanggal daripada badan.
Dalam kes psoriasis, kecelaruan sistem imun badan ini menghantar isyarat untuk mempercepatkan proses kitaran kulit kepada tiga hingga enam hari saja. Ini menyebabkan kulit sel kulit membahagi dengan cepat (secara berlebihan atau dipanggil poliferasi).
Sel kulit ini bertindih antara satu sama lain sehingga menyebabkan terbentuknya timbunan sel dan ia kelihatan seperti sisik dan tompokan keradangan tebal pada kulit. Tompokan sel ini tidak mendapat cukup bekalan darah dan ia mati dalam masa beberapa hari saja.
Apabila sel ini mati dan kering, ia menggelupas menjadi kepingan putih berkilat. Biasanya kepingan kulit kering ini tanggal sendiri, tetapi jika dipaksa (dikopek), ia menyebabkan luka.
Psoriasis boleh berlaku di mana-mana saja termasuk di kulit kepala, kemaluan, punggung, kaki atau belakang badan. Walaupun ia tidak menjangkiti orang lain, keadaan pesakit dan cebisan kulit yang tertanggal membuatkan ramai berasa tidak senang untuk duduk bersama mereka.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Biosains dan Boteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie, psoriasis boleh dibahagikan kepada tujuh jenis tetapi empat jenis paling biasa ialah vularis, postularis, plak dan pustular. Semua jenis psoriasis ini dikelaskan mengikut bentuk dan sifat fizikalnya.
Psoriasis adalah penyakit keturunan, wujud dalam genetik tetapi ia boleh dirangsang beberapa faktor lain seperti tekanan emosi, kecederaan kulit, jangkitan, tindak balas badan terhadap ubat tertentu, cuaca dan alahan terhadap makanan.
Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan.
Serangan psoriasis ringan jika hanya membabitkan kurang daripada dua peratus kulit, sederhana (tiga hingga 10 peratus
kurang daripada dua peratus kulit, sederhana (tiga hingga 10 peratus) dan teruk jika lebih 10 peratus kulit mempunyai tompok merah. Malah, pesakit boleh menentukan keadaan penyakit dengan mengukur menggunakan tapak tangan. Satu tapak tangan dikira sebagai satu peratus.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment